SOAL JAWAB prosedur Perolehan

Berapakah had nilai Pegawai Pengawal bagi pembelian terus bagi perolehan bekalan/ perkhidmatan dan lantikan terus bagi perolehan Kerja?

Had Nilai pembelian/ lantikan terus bagi Pegawai Pengawal/Ketua Jabatan/Pegawai Yang Diturunkan Kuasa adalah sehingga  RM20,000 setahun atau sesuatu kontrak. (Rujuk PK 2.1)

Apakah item yang termasuk di dalam Kontrak Pusat Kementerian Kewangan Malaysia?

Senarai item-item kontrak pusat adalah sebagaimana beikut ;

  1. Perkhidmatan Poslaju;
  2. Sampul Surat;
  3. High Density Polyethylene

(HDPE) Fittings;

  1. Alat Pemadam Api Mesra Alam Aerohub® Aerosol Fire Suppression System Dan 1MY22Y Clean Agent Fire Suppression System;
  2. Peluru Senjata Laras Kecil Dan Alat Pyrotechnics;
  3. Perisian Microsoft (MLA 3.0); dan
  4. Kertas A4 Putih 80 gsm.

(Rujuk PK 2.1)

Apakah pula item yang termasuk di dalam Kontrak Panel Berpusat ?

Item – item yang termasuk dalam Kontrak Pamel Berpusat pula adalah sebagaimana berikut;

  1. Perabot Berasaskan Kayu;
  2. Perabot Jenis Polypropylene;
  3. Perabot Logam;
  4. Katil Besi Setingkat dan Dua Tingkat (Tidak Termasuk Katil Pesakit);
  5. Perabot Pejabat Kerusi Berasaskan Kain;
  6. Perabot Rotan; dan
  7. Ayam

(Rujuk PK 2.1)

Adakah perolehan bagi pelantikan perunding sama seperti lantikan syarikat bagi bekalan/ perkhidmatan bukan perunding atau kerja? Sekiranya berbeza, apakah Pekeliling berkaitan yang agensi perlu patuhi?

Tidak sama. Bagi perolehan perunding, agensi hendaklah mematuhi peraturan dan tatacara perolehan perunding sebagaimana Pekeliling Perbendaharaan (PP – PK 3.1) Perolehan Perunding Secara Am. (Rujuk PK 3)

Adakah pelantikan perunding boleh dilaksanakan secara lantikan terus?

Agensi dibenarkan untuk melaksanakan perolehan pelantikan perunding secara Lantikan Terus Beserta Kos Siling. Walau bagaimanapun, tertakluk kepada Had Nilai Perolehan dan Pihak Berkuasa Melulus (PBM) sebagaimana PP – PK 3.5 Kaedah Perolehan Secara Lantikan Terus Beserta Kos Siling. (Rujuk PK 3.5)

Apakah kriteria yang membolehkan agensi memohon pengecualian daripada melaksanakan sebut harga/ tender terbuka bagi perolehan secara rundingan terus?

Rundingan Terus adalah tidak digalakkan dalam pelaksanaan perolehan Kerajaan. Selaras dengan prinsip perolehan, Agensi hendaklah merancang perolehan dan mempelawa sebut harga/tender melalui persaingan terbuka bagi mendapatkan nilai faedah terbaik kepada Kerajaan. Walau bagaimanapun, agensi hanya dibenarkan untuk membuat permohonan bagi rundingan terus atas faktor – faktor dan kriteria sebagaimana berikut sahaja;

  1. Kesegeraan Atas Kepentingan Awam;
  2. Bagi Maksud Penyeragaman;
  3. Satu Punca Bekalan/Perkhidmatan (Pembuat/Pemegang Francais);
  4. Melibatkan Keselamatan/Strategik; dan
  5. Kontrak Dengan Syarikat Pembuat Bumiputera.

(Rujuk PK 7.15)

Sekiranya agensi telah malaksanakan proses Sebut Harga, namun hanya dua (2) sahaja syarikat yang memulangkan dokumen sebut harga sehingga tarikh tutup sebut harga, apakah perkara yang perlu agensi lakukan?

Sekiranya agensi ada membuat pelawaan selain mengiklankan tawaran sebut harga secara bertulis, email, atau kaedah lain yang mempunyai rekod/ bukti pelawaan kepada sekurang – kurangnya tiga (3) syarikat bagi perolehan bernilai RM 20,000.00 sehingga RM 50,000.00 dan sekurang – kurangnya lima (5) syarikat bagi perolehan bernilai RM 50,000.00 sehingga RM 500,000.00, Jawatankuasa Sebut Harga agensi boleh membuat keputusan. Walau bagaimanapun, sekiranya agensi hanya mengeluarkan iklan dan tidak membuat pelawaan, agensi hendaklah merujuk perkara ini kepada pihak Perbendaharaan Negeri Johor (PNJ). (Rujuk PK 2.1)

Siapakah yang layak untuk menanda tangan Surat Setuju Terima (SST) dan dokumen kontrak bagi pihak kerajaan?

Sila rujuk Surat Pekeliling Perbendaharaan Negeri Johor Bil.4 Tahun 2019, Kuasa Untuk Menandatangai Kontrak Bagi Pihak Kerajaan Negeri Johor di dalam laman web Perbendaharaan Negeri Johor (PNJ) (Rujuk Pekeliling Perbendaharaan Negeri Johor Bil.4 Tahun 2019)

Bilakah Surat Setuju Terima (SST) perlu dikeluarkan kepada syarikat yang dilantik?

SST hendaklah dikeluarkan kepada syarikat yang berjaya secepat mungkin sebaik sahaja keputusan Pihak Berkuasa Melulus (PBM) iaitu terdiri daripada Kementerian Kewangan/ Lembaga Perolehan/ Jawatankuasa Sebut Harga/ Pegawai Pengawal diperolehi dan dalam tempoh sah laku tender/sebut harga. (Rujuk PK 4.2)

Apakah syarat yang perlu dipatuhi sekiranya terdapat perubahan atau pelanjutan tempoh kontrak bagi kontrak bekalan dan perkhidmatan di bawah had nilai sebut harga?

Perubahan kontrak dan pelanjutan tempoh kontrak bekalan dan perkhidmatan boleh diluluskan oleh pihak berkuasa yang meluluskan sebut harga asal dengan syarat-syarat berikut:

  • Dibenarkan bagi kontrak yang bernilai melebihi RM200,000 hingga RM500,000;
  • Kontrak masih berkuat kuasa semasa pelanjutan tempoh

kontrak dipertimbangkan;

  • Perubahan kontrak dan perlanjutan tempoh kontrak tidak melibatkan perubahan kadar harga dan syarat-syarat lain dalam kontrak;
  • Pelanjutan tempoh kontrak hanya diberi sekali sahaja dan tempoh maksimum adalah sehingga dua (2) tahun; dan
  • Bagi kontrak bekalan, tambahan kuantiti tidak melebihi 50% daripada kontrak asal tertakluk kepada nilai maksimum RM250,000 dengan syarat jumlah keseluruhan tambahan ini dan nilai kontrak asal tidak melebihi RM750,000 atau
  • Bagi kontrak perkhidmatan, nilai tambahan tidak melebihi 50% daripada kontrak asal tertakluk kepada nilai maksimum RM250,000 dengan syarat jumlah tambahan ini dan nilai kontrak asal tidak melebihi RM750,000.

Semua perubahan kontrak dan pelanjutan tempoh kontrak selain dari yang disebutkan di perenggan di atas hendaklah dirujuk kepada Perbendaharaan untuk kelulusan. Perubahan kontrak dan pelanjutan tempoh kontrak bekalan dan perkhidmatan atau perubahan lain bagi perolehan Negeri perlu dirujuk dan diluluskan oleh Lembaga Perolehan Negeri. (Rujuk PK 4.1)

Jika terdapat sebarang pertanyaan, Sila ajukan soalan anda DI SINI